facebook you are visitor
52379
since 12-09-2009
[back] Bapa jadi mangsa The New Straits Times Press (M) Berhad - 15 April 2007

Bapa jadi mangsa

The New Straits Times Press (M) Berhad
15 April 2007 (Featured in the Sunday, Metro).

WATAK orang tua bertongkat sambil jalan perlahan dengan tangan terketar-ketar yang sering dilakonkan rakan sekolah rendah ketika mengadakan persembahan drama dulu, rupa-rupanya adalah gejala penyakit yang melanda orang tua.

Tidak pernah terlintas di fikirannya bahawa pergerakan lambat, perlahan dan terketar-ketar itu antara gejala penting penyakit Parkinson hinggalah bapanya menghidap penyakit berkenaan 19 tahun lalu. Presiden Persatuan Penyakit Parkinson Malaysia, Sara Lew, berkata apabila bapanya mengalami gejala Parkinson, seisi keluarga tidak tahu apa harus dilakukan kerana ketika itu tidak banyak maklumat mengenai penyakit berkenaan. Bapanya beranggapan ia disebabkan masalah sendi (artritis) dan mengambil keputusan untuk berubat di China. Namun, tiga tahun kemudian, penyakitnya bertambah teruk. Pergerakannya menjadi lebih perlahan dan ketaran tangannya bertambah kuat.

"Sekali lagi bapa saya bergegas ke China untuk mendapatkan rawatan. Apabila dirujukkan ke hospital tempatan, baru bapa sedar rawatan yang diterima di sini tidak banyak bezanya dengan di China."

"Abang saya yang ketika itu bekerja di Taiwan mengirim buku mengenai penyakit Parkinson. Buku itu menjadi rujukan kami sekeluarga untuk membantu bapa."

"Walaupun sedih kerana ketika itu bapa tidak boleh buat banyak perkara, termasuk memegang cawan dan memasang butang baju sendiri, dia kuat semangat."

"Dia tahu dia perlu menerima hakikat dan melakukan sesuatu untuk melawan serta memperlahankan kemaraan penyakit. Antara perkara utama yang perlu dilakukan ialah bersenam dan jenis senaman paling digemari ialah berkebun," kata Lew.

Bermula dari situ, setiap hari tepat jam 6 pagi bapanya ada di halaman rumah Lew untuk berkebun. Selesai berkebun, dia menyambung aktiviti pagi dengan melakukan senaman tai chi yang terbukti dapat memperlahankan gejala penyakit Parkinson.

Menurut Lee, selain pengambilan ubat, aktiviti berkebun dan senaman tai chi mempunyai kesan terapeutik terhadap bapanya. Dia nampak lebih cergas, ceria dan bersemangat; tidak seperti ketika mula-mula menghidap penyakit itu.

"Hasil kebun diagih-agihkan kepada kami sembilan beradik. Sokongan keluarga penting kerana kesan sampingan ubat boleh menyebabkan pesakit mengalami halusinasi, terutama apabila badan mula menolak kemasukan ubat. Ketika itu dia kerap memarahi emak tanpa sebab munasabah. Kadangkala perkara kecil juga emak akan kena marah."

"Sebenarnya, sepanjang hayat itulah kali pertama saya lihat emak kena marah dengan kata-kata kesat, tetapi emak tidak pernah ambil hati."

"Kata emak, yang marah dia itu bukan bapa tetapi 'orang lain'. Bapa akan kembali kepada dirinya yang sebenar selepas kesan sampingan ubat hilang," katanya.

Penyakit Parkinson sering disalah anggap dengan penyakit Alzheimer kerana kedua-duanya berlaku pada orang tua. Walaupun kedua-duanya membabitkan masalah pada otak, halangan pesakit Parkinson hanya daripada segi pergerakan.

Mereka masih boleh berfikir dengan baik serta memberikan idea bernas, sedangkan pesakit Alzheimer pula mengalami masalah ingatan.

Walaupun mengambil ubat, secara umumnya keadaan pesakit Parkinson lama kelamaan bertambah buruk. Ini kerana ubat yang ada kini hanya untuk mengatasi gejala dan memperlahankan kemaraan penyakit. Sehingga kini, tiada ubat yang dapat mengubati penyakit Parkinson.

Ini yang berlaku kepada bapa Lew. Selepas hampir 10 tahun, ubat diberikan doktor semakin kurang berkesan, walaupun diambil pada dos tinggi.

Malah, penyakit hernia dan kencing manis yang dihidapi bapa Lew turut memburukkan keadaannya. Sebagaimana pesakit Parkinson lain, bapa Lee turut mengalami masalah keseimbangan yang menyebabkan dia kerap terjatuh.

Gejala ini menyebabkan Lew adik beradik tidak membenarkan bapa mereka berkebun, sebaliknya membina kolam ikan sebagai ganti supaya dia tetap mempunyai aktiviti harian (memberi makan ikan) dan aktiviti berkebun diambil alih emak yang masih cergas.

"Syukur kerana kami adik beradik tinggal berdekatan dan boleh bergilir-gilir menjaga bapa. Melihat keadaan bapa semakin teruk, saya berhenti dan menyambung pelajaran di universiti tempatan. Cara ini membolehkan saya meluangkan banyak masa untuk emak dan bapa."

"Bapa juga ada masalah untuk mengawal kencing dan terpaksa menggunakan lampin pakai buang dewasa. Oleh kerana emak dan bapa lebih selesa tinggal di rumah sendiri, kami adik beradik datang ke rumah mereka setiap malam secara bergilir-gilir untuk membantu emak menukarkan lampin bapa."

"Masalah paling besar sebenarnya datang daripada pesakit sendiri, sama ada mereka mahu menerima kenyataan atau sebaliknya. Jika mereka cepat menerima hakikat, proses rawatan itu lebih mudah."

"Ia juga memudahkan ahli keluarga membantu mereka. Pada peringkat awal, bapa saya juga sukar hendak menerima bantuan anak menguruskan dirinya, tetapi lama kelamaan dia akur kerana semua yang kami lakukan ini adalah untuk kebaikan," katanya.

Bagi Lew dan adik beradik, ini antara pengorbanan kecil yang boleh dilakukan demi bapa tersayang. Selagi ada hayat di badan, tidak mungkin orang yang membesarkan, menjaga mereka dengan penuh kasih sayang dan memberi pendidikan hingga ke universiti disia-siakan.